Khamis, 15 Disember 2011

KEPENTINGAN AKTIVITI BERMAIN DI DALAM PENDIDIKAN PRASEKOLAH

KEPENTINGAN AKTIVITI BERMAIN DI DALAM PENDIDIKAN PRASEKOLAH
Fauziah Md.Jaafar
Bidang Pendidikan , Kolej Sastera dan Sains,
Universiti Utara Malaysia

Abstrak: 
Kajian ini dijalankan untuk memperolehi maklumat tentang kekerapan aktiviti bermain di kalangan kanak-kanak prasekolah bagi daerah Kubang Pasu,Kedah. Kajian ini juga ingin mengenal pasti perbezaan antara pelaksanaan aktiviti main antara prasekolah dan KEMAS. Kaedah soal selidik digunakan untuk mengumpul data. Kajian ini melibatkan 80 orang sampel yang terdiri 33 dari guru prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 47 orang dari guru tabika Kemas. Data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan T-test. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru prasekolah dan Kemas ada menjalankan aktiviti bermain berdasarkan min keseluruhan bagi setiap jenis permainan yang dijalankan. Dari perbandingan di antara Prasekolah dan KEMAS didapati pelaksanaan aktiviti bermain di prasekolah lebih tinggi sedikit minnya dari KEMAS untuk semua jenis main kecuali permainan kumpulan. Ini selari dengan dapatan kajian Hamzah Dadu (1994) menyatakan aktiviti main di prasekolah dijalankan dengan baik kerana faktor kelengkapan alat permainan di sesebuah prasekolah itu. Namun begitu aktiviti permainan kumpulan kalau dilihat tidak memerlukan peralatan lengkap sebagaimana permainan lain. Oleh itu aktiviti permainan kumpulan bagi Tabika KEMAS minnya lebih tinggi dari prasekolah.
Kata kunci : aktiviti bermain, pendidikan prasekolah, permainan kumpulan.
 

PENGENALAN
Bermain adalah satu aktiviti semulajadi dan keperluan bagi setiap kanak-kanak. Mereka belajar dan meneroka melalui aktiviti bermain kerana imaginasi mereka yang tinggi (Morrison, 2000; & Spodek, 1973) dan sejak bayi lagi mereka sudah cenderung untuk memanipulasikan anggota badan mereka sendiri, (Piaget, 1962). Bermain adalah satu aktiviti yang simbolik dan memberi makna kepada kanak-kanak, aktif serta bebas untuk meneroka dan menjelajah persekitarannya, mendapat keseronokan dan segala undang-undang permainan kanak-kanak yang tentukan sendiri sesuai dengan aktiviti yang mereka main.(Isenberg and Jolongo, 1997).
Bermain merupakan hak yang seharusnya diberikan kepada kanak-kanak. Ibu bapa, guru, pengusaha tadika atau taska dan juga masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam usaha agar kanak-kanak ini mendapatkan hak tersebut. Bagi tujuan ini Huraian Kurikulum Pendidikan Prasekolah Kebangsaan (2003) telah memberi penekanan tentang pendekatan belajar melalui bermain dalam proses pengajaran dan pembelajaran di prasekolah. Aktiviti bermain merupakan satu aktiviti yang menjadi fitrah bagi kanak-kanak. Mereka akan meneroka, menjelajah, inkuiri penemuan dan pembinaan melalui pengalaman langsung secara semula jadi.
Pernyataan Masalah
Dalam kajian Asmah (2001), Play in Brunei Preschool classrooms mendapati bahawa guru prasekolah di Brunei lebih memfokoskan pengajaran mereka pada konsep membaca, menulis dan mengira berbanding kaedah bermain kerana permintaan ibu bapa. Begitu juga dengan kajian Hussin (1996), menunjukkan pengajaran di prasekolah Malaysia lebih kepada pendekatan formal. Hasil kajian Hamzah Dadu (1994) juga menunjukkan senario yang sama. Oleh itu, pengkaji akan mengkaji sejauhmanakah pelaksanaan aktiviti bermain di prasekolah dijalankan setelah semakan huraian kurikulum prasekolah ini dibuat.
 

Objektif Kajian
Pada umumnya objektif bagi kajian ini ialah seperti berikut:
1. Mengkaji jenis dan tahap kekerapan aktiviti bermain di kalangan kanak-kanak prasekolah.
2. Mengenal pasti perbezaan antara pelaksanaan aktiviti main antara prasekolah dan KEMAS.
 

Soalan Kajian
1. Apakah jenis aktiviti permainan di kalangan kanak-kanak prasekolah?
2. Adakah terdapat perbezaan min yang signifikan di antara KEMAS dan
Prasekolah?
3. Apakah contoh-contoh permainan yang cenderung dilaksanakan oleh guru prasekolah?
 

Menurut Rubin et.al.(1983) dan Frost (1992) permainan mempunyai beberapa faktor disposisi yang boleh membezakan main dengan tingkah laku atau aktiviti yang lain. Iaitu main merupakan suatu yang dimotivasikan secara dalaman,fokus aktiviti main adalah proses aktiviti itu sendiri dan bukan hasil atau aktiviti tersebut, permainan adalah satu aktiviti bebas dari peraturan luaran bukanlah satu tugas yang dipaksa, permainan menentukan penglibatan diri individu secara aktif , permainan selalu melibatkan kesan perasaan positif seperti gembira dan seronok yang selalu disertai dengan gelak ketawa dan main juga mempunyai ciri-ciri imaginasi, simulatif, pura-pura atau olak-olak. Kepentingan aktiviti –aktiviti permainan bagi kanak-kanak prasekolah dapat dilihat berdasarkan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pada peringkat ini yang lebih menekankan pendekatan Belajar Melalui Bermain kerana ia boleh mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dari berbagai aspek iaitu fizikal, kognitif, mental, bahasa dan sosio emosi. Bagi tujuan ini, aktiviti-aktiviti yang dirancang perlu memberi keutamaan kepada semua aspek perkembangan sebagai landasan bagi membantu mengembangkan aspek-aspek yang lainnya (Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, 2003) di samping dalam masa yang sama kanak-kanak akan menggunakan objek di sekitarnya sebagai lambang atau simbol sebenar mengikut pemerhatian mereka terhadap persekitaran ( Liszkowski, Carpenter, Striano & Tomasello, 2006; Tomasello& Haberl, 2003).
Terdapat beberapa kelompok atau jenis permainan yang sering dijalankan di prasekolah berdasarkan pengkaji-pengkaji sebelum ini iaitu permainan imaginatif dikenali juga dengan simbolik atau dramatik. Permainan ini adalah bergantung pada objek atau material yang disediakan dan objek ini akan digunakan sebagai simbol bagi objek sebenar(Marjanovic-Umek & Lesnik- Musek,2001; Abu Bakar & Rohaty, 1998) dan membantu memperkembangkan kreativiti, kecerdasan menunjukkan aksi dan kemahiran sosial kanak-kanak (Smilansky & Shefatya,1990; Smilansky,1979) di samping penguasaan bahasanya (Sophie L.Lovinger 1974).
Manakala permainan bebas menurut Abu Bakar & Rohaty (1998), kanak-kanak dibenarkan memilih aktiviti tertentu untuk bermain dan ini tidak bermaksud guru hanya pemerhati dan tanpa merancang bahan-bahan yang boleh digunakan dalam permainan atau yang boleh mereka pelajari daripada bahan tersebut. Morrison (2000) pula menjelaskan bahawa permainan bebas adalah aktiviti bermain secara informal dan spontan yang boleh wujud dalam situasi di mana-mana sudut dalam kelas. Bagi permainan kreatif, ia memberi peluang pada kanak-kanak dalam melahirkan perasaan mereka ketika bermain (Stevens,2003; Johnson,1999). Permainan Fizikal pula melibatkan motor kasar sama ada di luar atau dalam kelas prasekolah (Johnson, 1999). Permainan Kumpulan pula merupakan salah satu sub kategori permainan sosial iaitu permainan kooperative yang mana melibatkan permainan kumpulan (Parten, 1932) dan terancang (Rubin, 1978). Bagi permainan berstruktur merujuk kepada permainan yang berperaturan dan terdapat undang-undang cara-cara bermain (Frost, 1992).
Parten (1932) mengkategorikan permainan kepada beberapa kategori iaitu “Unoccupied”(kanak-kanak tidak bermain dengan sesiapa dan juga sebarang permainan), “Solitary” (kanak-kanak bermain seorang diri tanpa melibatkan kanak-kanak lain), “observer”( kanak-kanak memerhati dan melihat permainan kanak-kanak lain,fokus diberikan kepada permainan lain), “parallel”( kanak-kanak bermain bersendirian tetapi dengan cara yang sama dengan kanak-kanak lain atau menggunakan alat permainan yang serupa) , “associative”( kanak-kanak hanya berinteraksi di antara satu sama lain, menggunakan alatan yang sama tetapi mereka tidak berkongsi) dan permainan Koperatif (Melibatkan permainan yang agak komplek, berkongsi alat,wujudnya interaksi dan terlibat secara aktif).
Hamzah Dadu ( 1994) dalam kajian beliau telah mengelompokkan aktiviti-aktiviti permainan kepada enam kumpulan dalam kajian beliau iaitu permainan berkumpulan, permainan fizikal permainan kreatif, permainan dramatik, permainan berstruktur dan permainan bebas.
Berdasarkan pengelasan permainan yang disyorkan oleh Parten (1932), kajian Hamzah Dadu (1994) yang dan aktiviti main yang disenaraikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) dalam buku panduan aktiviti prasekolah, pengkaji telah mengelompokkan aktiviti-aktiviti permainan kepada beberapa kategori iaitu
berstruktur,fizikal,kreatif, kumpulan, imaginatif dan bebas.
 

METODOLOGI
Kajian ini melibatkan 80 orang guru prasekolah iaitu 33 orang guru prasekolah dan 47 orang guru tabika KEMAS di daerah Kubang Pasu. Bagi meninjau kekerapan aktiviti permainan di kalangan kanak-kanak prasekolah satu set soal selidik telah digunakan dan diubahsuai berdasarkan pengelasan permainan yang disyorkan oleh Parten (1932), Hamzah Dadu (1994) dan juga merujuk kepada aktiviti permainan yang telah disenaraikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) dalam buku panduan aktiviti prasekolah. Data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif (min, peratusan dan frekuensi) dan t-test. Kajian rintis telah dikendalikan di kalangan 35 orang guru prasekolah di daerah Kulim Bandar Baharu. 



Soalan kajian 3 : 

Apakah contoh-contoh permainan yang cenderung dilaksanakan oleh guru?
Bagi kategori permainan berstruktur, permainan jigsaw puzzle menunjukkan kekerapan paling tinggi iaitu 24 (30%) responden, permainan fizikal pula kekerapan paling tinggi ialah permainan skip,melompat,berlari, membaling dan menyambut pundi kacang dan menggolek bola melalui kaki/gelung rotan iaitu melibatkan 38 (47.5%) respondan. Mengecat dengan berus melibatkan 51 (63.8%) responden bagi kategori permainan kreatif, manakala bagi permainan kumpulan menunjukkan bermain “ Kambing dengan Harimau” mempunyai kekerapan yang tinggi 48 (60%) responden, bagi sub kategori permainan imaginasi menunjukkan permainan melakonkan watak dalam cerita yang didengar melibatkan kekerapan tertinggi iaitu 41 (51.3%) dan main buih sabun mempunyai kekerapan yang tinggi iaitu 37 (46.3%) responden bagi kategori main bebas.
 

PERBINCANGAN
Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru prasekolah dan Kemas ada menjalankan aktiviti bermain berdasarkan min keseluruhan bagi setiap jenis permainan yang dijalankan namun mereka menghadapi berbagai kekangan dalam melaksanakannya iaitu permintaan ibu bapa yang lebih fokus pada sistem 3M ( Hussin,1996;Hamzah Dadu, 1998; Asmah, 2001).
Dari perbandingan di antara Prasekolah dan KEMAS didapati pelaksanaan aktiviti bermain di prasekolah lebih tinggi sedikit minnya dari KEMAS untuk semua jenis main kecuali permainan kumpulan iaitu KEMAS 2.72 dan prasekolah 2.50. Menurut Hamzah Dadu (1998) perbezaan ini disebabkan faktor kelengkapan alat permainan di sesebuah prasekolah itu. Namun begitu aktiviti permainan kumpulan kalau dilihat subkategori permainan ini ianya tidak memerlukan peralatan lengkap sebagaimana permainan lain. Oleh itu min aktiviti permainan kumpulan bagi Tabika KEMAS lebih tinggi dari prasekolah.
Dapatan kajian menunjukkan min bagi permainan imaginasi hanya 2.62 (keempat) yang kurang diberi perhatian dan penekanan oleh guru. Ini bertentangan dengan dapatan teori kognitif Piaget (1962) tentang main juga menunjukkan bahawa kanak-kanak di peringkat praoperasi lebih menekankan permainan simbolik melalui proses asimilasi dan akomodasi dalam skema pemikiran mereka.
Perincian terhadap contoh permainan secara spesifik juga dikaji oleh penyelidik. Contoh permainan yang popular dilaksanakan oleh guru prasekolah iaitu main peranan. Menurut Johnson (1999) dan Morrison ( 2000) menyatakan bahawa permainan sedemikian merupakan antara yang digemari oleh kanak-kanak kerana mereka dapat melahirkan perasaan dan main peranan seperti orang dewasa ketika bermain . Di samping, mudah dilaksanakan oleh guru di dalam kelas dan kanak-kanak akan merasakan seolah-olah mereka berada di rumah sendiri.
Bagi kajian akan datang diharapkan dapat memberi fokus pada faktor-faktor yang mempengaruhi aktiviti main. Dapatan ini penting bagi melihat faktor-faktor yang menghalang guru menjalankan aktiviti main di prasekolah.Dalam kajian ini penyelidik menggunakan kaedah soal selidik sahaja. Kajian lanjutan dicadangkan supaya menggunakan kaedah lain untuk mengumpul data. Misalnya, kajian kualitatif, penyelidik menggunakan kaedah pemerhatian,uji kaji atau temu bual untuk mendapatkan maklumat yang lebih lengkap dan jitu daripada responden. Bagi kajian akan datang, dicadangkan juga penyelidik melihat perbezaan aktiviti bermain ini adakah dipengaruhi oleh perbezaan jantina lelaki dan perempuan, lokasi yang berbeza seperti prasekolah luarbandar dan di bandar apa jenis permainan yang menjadi kecenderungan mereka serta perbezaan status tadika sama ada prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran, swasta dan juga di bawah badan berkanun.
Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan kekerapan aktiviti main di kalangan kanak-kanak prasekolah adalah sederhana. Permainan kreatif, fizikal,
kumpulan dan imaginasi adalah menjadi kecenderungan guru dan kerap dijalankan di prasekolah berbanding permainan jenis berstruktur dan bebas. Diharapkan dapatan kajian ini dapat membantu pihak tertentu melihat kekangan yang mempengaruhi pelaksanaan aktiviti main ini dan kesedaran tentang kepentingannya pada perkembangan kanak-kanak.
 
RUJUKAN
Abu Bakar Nordin & Rohaty Mohd Majzub (1989). Pendidikan
prasekolah.Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Asmah Morni (2001). Play in Brunei preschool classrooms: In journal of Applied
Research in Education, 2002, Vol.2,No.4,203-213.
Frost, J.L. (1992). Play and Playscapes. New York : Delmar.
Hamzah Dadu (1994). Pola-pola permainan dan pengurusan aktiviti permainan di
pusat pendidikan kanak-kanak prasekolah. Tesis Sarjana Pendidikan
(tidak diterbitkan). Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hussain Ahmad (1996). Dasar, status perlaksanaan dan masa depan pendidikan
prasekolah di Malaysia. Seminar Kebangsan Pendidikan Prasekolah.
Pulau Pinang: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan.
Jalongo,M.R., & Isenberg, J. P.(1997) Creative expression and play in early
childhood.(2nd Ed.) New Jersey: Merill.
Johnson, J. E. & Ershler, J. (1999). Developmental trends in preschool play as a
funtion of classroom program and child gender. Child Development, 52 ,
995-1004.
Kementerian Pendidikan Malaysia (1991). Draf kurikulum prasekolah. Kuala
Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Huraian kurikulum prasekolah
kebangsaan. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulam.
Liszkowski,U., Carpenter,M., Striano,T.,& Tomasello,M. (2006). 12- and 18-
month olds point to provide information for others. Journal of Cognition and
development, 7(2), 173-187.
Ljubica Marjanovic umek & Petra Lesnik Musek (2001). Symbolic play:
opprtunities for cognitive and language development in preschool settings.
Developmental Psychology, vol 21, No 1,58-63.
Morrison, G.S. (2000). Early childhood education today. New Jersey: Prentice
Hall, Inc.
Parten, M.B. (1932). Social participation among preschool. Children Journal of
Abnormal Psychology,27,234-269
Piaget, J.(1962). Play, dreams and imitation in childhood. New York : Nortan
Rubin, K.H. & Watson, K. S.(1978). Free play behaviors in preschool and
kinderarten children. Society for research in Child Development ,49, 534-
536.
Smilansky, S. (1979). The effects of sociadramatic play on disadvantaged
preschool children. New York: Wiley.
Smilansky, S., & Shefatya, L. (1990). Facilitating play. Psychological &
Educational .
Sophie, L. L. (1974). Social dramatic play and language development in
preschool disadvantaged children. In Psychology in School,vol 11, No. 7,
313 – 320.
Spodek, B (1985).Teaching in early years, (3rd Ed). New Jersey: Prentice Hall.
Stevens, S. (2003). Creative experiences in free play. Music Educators
Journal,Vol.89, 44.
Tomasello,M., & Haberl, K. (2003). Understanding attention: 12- and 18- month-
olds know what’s new for other persons. Developmental Psychology,
39, 906-912.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan